Paling mencuri tumpuan pastinya pendatang baharu Liga Super, Melaka United (MU) yang mendaftar lapan pemain baharu dengan menggugurkan 10 pemain mereka selepas mempamerkan prestasi kurang menyakinkan sehingga berada di zon penyingkiran.

Tidak ketinggalan pasukan tercorot liga, Pulau Pinang di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan yang dilantik pada hujung Mac lalu turut menguatkan pasukan dengan kemasukan tujuh muka baharu termasuk tiga import.

Selain itu, Felda United yang ketika ini menghuni tangga keenam liga turut menukar tiga pemain import untuk memantapkan pasukan terutama kepulangan semula penyerang dari Brazil, Thiago Augusto.

Dalam pada itu, pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengambil langkah penjimatan musim ini membawa dua pemain import baharu untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di persada liga.

Pasukan lain yang turut manfaatkan peluang pada jendela perpindahan pemain ini adalah Kelantan, Pahang, Perak, PKNS FC, Sarawak, T-Team dan Selangor.

Sementara itu, Perlis dan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) pula menjadi pasukan Liga Perdana yang paling banyak melakukan pertukaran pemain dengan kemasukan lapan muka baharu dalam pasukan masing-masing.

Turut mengambil peluang kedua ini bagi menguatkan posisi dalam pasukan masing-masing adalah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Kuala Lumpur, Kuantan FA, Negeri Sembilan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Terengganu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Kesimpulannya, kebanyakan pasukan tidak melepaskan peluang pada jendela perpindahan kedua ini untuk mendaftar pemain baharu yang diingini bagi memberikan impak positif dan memperbaiki kelemahan serta mempertingkatkan lagi keupayaan pasukan.