Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminudin Omar berkata, Pallares, 30, yang menggalas tugas sebagai penyerang akan mengisi slot pemain import bagi kuota antarabangsa dan Alvaro, 33, yang akan beraksi di posisi tengah pula memenuhi kuota Asia.

Menurutnya, kehadiran kedua-dua pemain import baharu itu dijangka dapat membantu memperkukuhkan kekuatan pasukan Kedah dalam menghadapi Liga M yang lebih mencabar pada tahun ini.

“Pemilihan kedua-dua pemain import Kedah itu diputuskan ketua jurulatih Ramon Marcote selepas berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan mereka dalam beberapa siri latihan dalam tempoh beberapa hari lalu,” katanya kepada pemberita selepas majlis memandatangani kontrak Pallares dan Alvaro di pejabat KFA di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah penolong pengurus pasukan Kedah yang baharu, Haris Che Mat.

Pallares yang berketinggian 1.90 meter menjadi pilihan Marcote untuk mengisi posisi penyerang yang ditinggalkan Ken Ilso dari Denmark manakala Alvaro yang pernah beraksi dalam La Liga Sepanyol bersama kelab Malaga pula akan mengisi kekosongan pemain import tengah Zack Anderson.

Aminudin berkata, kedua-dua pemain import baharu Kedah itu diharapkan dapat mempamerkan aksi cemerlang bersama-sama dengan dua pemain tengah import Kedah musim lalu Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva serta pemain-pemain muda tempatan.

“Saya percaya gandingan mantap empat pemain import tersebut dan pemain muda tempatan dapat membantu Lang Merah mempertahankan Piala Sumbangsih dan Piala FA serta merampas semula Piala Malaysia pada musim ini.

“Pada masa sama, pasukan Kedah juga meletakkan sasaran untuk muncul sebagai juara Liga Super pada musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminudin memberitahu Marcote sedang mengenal pasti beberapa pemain dari Indonesia, Thailand dan Vietnam untuk dipilih bagi mengisi kuota ASEAN bagi melengkapkan lima pemain import pada musim ini.

“Bagaimanapun, pemilihan pemain import kelima Kedah itu pula dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE