Ketua pasukan Pahang, Matthew Davies berkata, meskipun pasukan Kedah dilihat mempunyai kelebihan di bahagian tengah seperti dakwaan sesetengah pihak, namun ia bukan halangan untuk pemain kendalian Dollah Salleh itu meraih kejuaraan.

“Pada masa kini Syamim dan Kiko kekal bermain posisi tengah, namun semua pemain dilihat cukup berbakat dan dapat beraksi dengan cemerlang.

“Berdasarkan permainan menentang Negeri Sembilan baru-baru ini, kita lihat rentak pemain cukup baik dan mempunyai keyakinan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Davies ketika ditanya adakah akan mempertaruhkan pemain baharu dari Argentina, Romero, berkata, pihak pengurusan masih belum memutuskannya tetapi menyifatkan semua pemain berada dalam keadaan bersedia dan layak beraksi.

“Strategi telah diatur namun masih terlalu awal untuk saya dedahkan,” jelasnya.

Sementara itu, Syamim mengakui kekuatan luar biasa jentera tengah pasukan Kedah, sekaligus memberi tekanan buat Pahang.

“Bagi saya Kedah pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim ini dan jentera tengah mereka begitu mantap terutama dibantu dua pemain import iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva.

“Bagaimanapun, kami tidak gentar untuk mengekang dan mempamer prestasi terbaik kerana aksi final memerlukan komitmen serta disiplin tinggi untuk bergelar juara,” ujarnya.