Pahang terkeluar daripada per­tandingan kedua terpenting antara kelab Asia itu apabila dikenakan penalti enam mata selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati PBNP lewat menyelesaikan masalah gaji dan pampasan bekas pemain importnya dari Maghribi pada musim 2013, Mohamed Borji.

Berita itu dimaklumkan seren­tak dengan kejayaan Pahang me­numpaskan Lions XII 4-1 dalam kempen peringkat kumpulan Pia­la Malaysia.

Akibat hukuman itu Pahang, yang menamatkan kempen Liga Super dengan 44 mata untuk men­duduki tempat kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) kini merosot ke tempat ketiga, manakala Selangor yang me­ngumpul 39 mata mengambil alih kedudukan mereka, sekali gus akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Piala AFC musim depan.

PBNJ menjelaskan, penamatan kontrak Borji adalah mengikut prosedur ditetapkan dan di­­­per­setujui oleh kedua-dua belah pihak setelah pemain dari Maghribi itu menandatangani borang C06 dan bersetuju dengan terma penamatan kontraknya bersama Tok Gajah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FA, Fahrizal Hasan berkata, sehubungan itu timbul persoalan sama ada FAM telah mengemukakan borang C06 itu kepada FIFA.

“Kami sedang tunggu penjelasan FAM sama ada borang C06 itu telah dipanjangkan kepada FIFA atau tidak. Saya telah ke FAM hari ini (semalam) dan kini menunggu penjelasan badan induk bola sepak negara itu.

“Saya ingin maklumkan di sini bahawa kami (PNBP) langsung tidak ada bayaran tertunggak kepada Mohamed Borji. Meskipun (pada asalnya) ada tetapi telah terbatal sebab dia setuju tanda tangan borang C06, tanpa syarat dan tuntutan.

“Jadi adalah tidak wajar untuk Mohamed Borji membuat tuntutan kepada kami sedangkan persetujuan (untuk tiada menuntut apa-apa) telah dicapai antara kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

FAM semalam memaklumkan bahawa FIFA telah mengarahkan FAM untuk menolak enam mata Pahang dalam kempen Liga Super berikutan kegagalan pasukan itu membayar pampasan kepada Borji.

Sementara itu, Fahrizal berkata menerusi Twiter, segala urusan antara FIFA dengan pasukan tempatan diuruskan oleh Jabatan Undang-undang FAM dan PBNP telah menyerahkan kronologi dan semua dokumen tamat kontrak kes itu kepada mereka.

“Penamatan kontrak (Borji) tanpa tuntutan pampasan mengikut prosedur kendalian standard yang disediakan FAM dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Kontrak pemain import adalah kontrak standard yang disediakan FAM dan tidak diterima pakai oleh FIFA. Ada kelemahan di situ,” katanya.