Bagaimanapun beliau berkata, keputusan seri 2-2 ketika menentang Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam sedikit melegakan walaupun banyak peluang yang dicipta di hadapan pintu gol namun tiada penyudah dapat disempurnakan.

“Secara keseluruhan kita menguasai kita menguasai aksi itu, tetapi sedikit kelekaan menyebabkan pasukan lawan menggunakan kesempatan dengan melakukan serangan balas untuk menjaringkan dua gol penyamaan dan mendahului perlawanan.

“Masalah Pahang adalah di bahagian serangan, kita ada masalah ketandusan penyerang, kita ada cipta peluang tapi bola hendak masuk jaring tapi tidak dapat.

“Namun saya berpuas hati dengan apa yang pemain tunjukkan pada malam ini, dan kita lihat pemain muda yang rata-rata diturunkan untuk menggantikan pemain yang cedera dan digantung perlawanan telah beraksi dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.

Dollah berkata, sebelum perlawanan itu juga beliau turut mengingatkan anak-anak buahnya tidak mengambil mudah lawan mereka Melaka United yang telah mempamerkan peningkatan da­lam permainan terutamanya selepas diambil alih Ketua Jurulatih, E. Elavarasan.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi perebutan tempat kedua liga, Dollah percaya peluang terbuka berdasarkan dengan berbaki dua perlawanan.

“Kita kena ambil kelebihan terutamanya pada aksi menentang PKNS FC di Stadium Darul Makmur untuk mendapatkan kemenangan di tempat kita sendiri sekali gus memastikan tempat kedua milik Pahang,” katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad Tok Gajah berjaya mengikat Sang Kancil dengan keputusan 2-2 dalam aksi Liga Super menerusi jaringan Issey Nakajima pada minit ke-8 dan penyerang import, Amamchi Iwuji pada masa tambahan separuh masa pertama.

Jaringan Melaka United disumbangkan oleh R. Gopinathan pada minit ke-15 yang menyamakan kedudukan sebelum Yahor Zubovich menjaringkan dengan gol kedua untuk pasukannya.