Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiga pemain berkenaan akan dikekalkan bagi memantapkan skuad The Bos Gaurus.

"Ada pihak cuba mewujudkan cerita mengenai pemain import kita kononnya mereka tidak akan disambung kontrak dan Perak akan mencari pemain baharu.

"Saya kira perkara ini belum lagi diputuskan dan kalau mengikut apa yang saya tahu tiga pemain import ini dikekalkan dan saya tidak tahu daripada mana mereka mendapat berita dan ia bukan daripada Pafa," katanya.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai presiden baharu pada Kongres Luar Biasa Pafa, beliau percaya dapat mengemudikan badan induk bola sepak negeri itu dengan baik hasil bantuan semua pihak termasuk timbalan presiden, exco dan ahli-ahli gabungan persatuan bola sepak di daerah-daerah.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya mahu melihat persatuan bola sepak daerah-daerah untuk lebih aktif dan saya telah memberi cabaran kepada mereka jika kita telah diberi peluang untuk mentadbir atau memimpin persatuan bola sepak daerah, mestilah aktif," katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman turut dilantik sebagai Timbalan Presiden Pafa yang baharu manakala Datuk Adly Shah Ahmad Tah pula dikekalkan sebagai pengurus pasukan.

Habis//