Dalam aksi itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengawal permainan dengan baik menerusi hantaran-hantaran pendek menarik namun segala-galanya terjejas ekoran permukaan padang yang basah.

Dalam aksi itu, skuad negara bermula dengan baik dengan melancarkan serangan yang diketuai kapten Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak namun pada minit ke-13, pasukan tuan rumah berjaya mengatasi perangkap ofsaid dan membolehkan Wu Chun Ching meledak jaringan pertama Taiwan.

Beraksi di atas padang basah, nyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah dan mereka memanfaatkannya dengan meledak jaringan kemenangan pada minit ke-53 menerusi Chun En Le.

Mengulas mengenai aksi itu, Cheng Hoe enggan menjadikan padang basah sebagai alasan kepada kekalahan pasukan sebaliknya yakin skuad negara mampu bangkit dalam aksi persahabatan kedua menentang Kemboja, Isnin ini.

“Saya tidak mahu menjadikan padang sebagai alasan tetapi kita dapat lihat ada beberapa aspek perlu diberikan perhatian sebelum aksi kedua nanti.

“Saya ada ubah sedikit cara permainan malam ini untuk disesuaikan dengan keadaan padang tetapi memang saya kecewa dengan keputusan ini.

“Apa pun saya harap pemain dapat beraksi dengan lebih baik selain dapat bermain mengikut situasi semasa seperti di sini (keadaan padang basah),” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Perlawanan itu merupakan salah satu daripada enam perlawanan persahabatan kelas A yang dirancang untuk skuad kebangsaan sebagai medan persiapan untuk berdepan aksi Piala AFF yang akan berlangsung, hujung tahun ini.

Aksi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tiga lagi aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan pada 12 dan 16 Oktober depan sebelum menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November.