Ozil menyaksikan Arsenal tewas kepada Atletico Madrid menerusi penentuan sepakan penalti dari bangku simpanan, semalam, tetapi pemain itu tetap menerima sorakan daripada para peminat setiap kali imejnya tertera di skrin besar stadium.

“Terima kasih kepada Gunners di Si­ngapura di atas kasih sayang yang mereka tunjukkan malam ini (semalam),” kata pemain tengah Jerman berusia 29 tahun itu.

Peminat Arsenal mendominasi 23,000 penonton yang hadir menyaksikan kelab London tersebut tewas 1-3 kepada Atletico menerusi penentuan sepakan penalti pada Piala Juara-Juara Antarabangsa, selepas pertemuan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Ozil yang sekadar memanaskan bangku simpanan selepas pulang lewat ke pangkuan pasukan dari Piala Dunia, mencetuskan kontroversi dalam bola sepak Jerman apabila dia membuat keputusan menamatkan karier­nya bersama skuad kebangsaan selepas me­ngadu menjadi mangsa perkauman dan dilayan secara tidak adil.

Ketua bola sepak Jerman, Reinhard Grindel menafikan dakwaan perkauman, tetapi mengakui dia sepatutnya mempertahankan Ozil selepas pemain perancang tersebut dihina setelah mengambil gambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Ozil, yang dilahirkan di Jerman daripada ibubapa berketurunan Turki menjulang Piala Dunia pada 2014, turut berasakan dia dilayan secara tidak adil apabila dituding jari menjadi punca tersingkirnya Jerman seawal saingan peringkat kumpulan pada kejohanan tersebut.

Pengurus Arsenal yang baharu, Unai Emery dan para pemain memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Ozil sepanjang jelajah pra-musim, dengan hashtags #StandWithOzil dan #SayNoToRacism menjadi popular di media sosial. – AFP