Pengurus pasukan T-Team, Datuk Mohammad Kamil Othman memberitahu,sehingga kini pihak pengurusan masih tidak dapat menjejaki pemain berusia 26 tahun itu dan tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung kehilangannya bersama kem pasukan.

"Situasi ini memberi sedikit kesulitan kepada kami memandangkan hari ini sudah 19 hari dia tidak menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain sedangkan T-Team berdepan dengan beberapa perlawanan penting.

"Pelbagai usaha dilakukan untuk mengesannya kerana tidak dinafikan T-Team pincang tanpa kelibat Nor Hakim," katanya di sini hari ini.

Mohammad Kamil bagaimanapun berkata, ruang perbincangan bagi kedua-dua pihak masih terbuka andai situasi itu berubah dalam masa terdekat.

"Sekiranya masih berlarutan maka ditamatkan kontrak menjadi langkah terakhir bagi mengelakkan masalah itu terus menjadi 'barah' kepada skuad kendalian Rahmad Darmawan.

"Sememangnya kita kecewa dengan apa yang berlaku dan pihak pengurusan masih menunggu alasan serta bukti kukuh daripada Mohd. Nor Hakim sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," katanya.

Untuk rekod, Mohd. Nor Hakim mula menyinar bersama pasukan T-Team sejak 2016 dan telah menyumbang lima gol dalam kempen Liga Super setakat ini serta dikaitkan dengan perpindahan ke Kuala Lumpur pada jendela perpindahan kedua musim ini. - UTUSAN ONLINE