Mengakui ketiadaan Liridon Krasniqi, Ken Ilso Larsen dan kapten Khairul Helmi Johari mengganggu perancangan pasukannya, katanya kekosongan yang ditinggalkan oleh tiga pemain itu berjaya ditampung oleh kesungguhan kesebelasan pemainnya yang berdisiplin dan patuh kepada arahan.

“Saya tabik kepada pemain kerana sentiasa mengikut arahan dan bersabar dalam usaha mencari gol.

“Mereka tahu apa yang perlu dibuat dengan kami menumpukan untuk tidak bolos pada separuh masa pertama dan kemudian cuba mengambil kesempatan menerusi serangan balas pada separuh masa kedua. Akhirnya, kami berjaya meraih kemenangan menerusi dua gol dihasilkan Sandro Da Silva,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan, malam tadi.

Dua gol Sandro dalam perlawanan itu hadir pada minit ke-71 dan 85 setelah dia bijak memanipulasi kelemahan barisan pertahanan Felda untuk berada berseorangan dalam kotak penalti tanpa dikawal mana-mana pemain lawan.

Ditanya mengenai pertemuan menentang JDT dalam perlawanan akhir pada 4 November depan, Mohd. Nidzam berkata, pertemuan itu nanti pasti akan menjadi pertembungan yang amat menarik untuk ditonton.

“Kami bertemu dengan mereka dalam perlawanan sumbangsih pada awal musim dan akan sekali lagi bertemu mereka untuk merebut gelaran pada akhir musim. Saya fikir ini musim yang unik kepada kedua-dua pasukan.

“Kami akan cuba untuk mengekalkan Piala Malaysia bagi melengkapkan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA sebelum ini. Mengenai venue pertandingan di Shah Alam, kami memang sukakannya kerana keadaan padang di Shah Alam amat sesuai dengan corak permainan Kedah,” katanya.

Sementara itu Sandro berkata, dia sudah tidak sabar untuk memulakan perlawanan akhir setelah gagal menjulang trofi bersejarah itu dalam dua final terdahulu.

“Pada 2015 saya bermain dalam final tetapi tewas kepada Selangor sementara pada tahun lalu pula saya tidak berpeluang membantu Kedah dalam perlawanan akhir kerana diketepikan akibat kecederaan.

“Tahun ini tiba masanya untuk saya menjulang Piala Malaysia. Saya sedar, ramai yang mempertikaikan keupayaan saya pada usia sekarang (34 tahun) namun saya sentiasa membuktikan yang umur hanyalah nombor apabila sentiasa mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan,” katanya.