Pengerusi NGO 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd. Ali Zakariah
Pengerusi NGO 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd. Ali Zakariah

Pengerusi NGO 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Muhd. Ali Zakariah berkata, sebagai anak Selangor, pihaknya merasakan Tengku Amir sebagai generasi muda mempunyai keupayaan untuk memimpin persatuan sebesar FAS.

“Kita berharap Tengku Amir dapat memimpin FAS di samping menyelesaikan isu pasukan Selangor yang masih tidak dapat bermain di Stadium Shah Alam.

“Pasukan Selangor perlu kembali ke stadium keramat untuk mengembalikan reputasi pasukan ini sebagai Gergasi Merah yang pernah memenangi 33 kali Piala Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Muhd.Ali menambah, pihaknya juga menyokong Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk bersama-sama Tengku Amir mengemudi FAS untuk menjadi pasukan yang disegani semula.

Sementara itu Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kota Raja, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz menyambut baik cadangan melantik baginda sebagai Presiden FAS ke-14.

Mohamad Khusyairi berkata, pasukan Selangor memerlukan kepimpinan Tengku Amir yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak.

“Bagi peminat sukan bola sepak, Selangor perlu bangkit untuk memenangi sebarang piala yang dipertandingkan.

“Justeru, pelantikan Tengku Amir sebagai Presiden diharap dapat melakar sesuatu kejayaan yang gemilang untuk pasukan Selangor yang sedang bergelut untuk mengembalikan prestasi sebagai pasukan digeruni,” katanya. - UTUSAN ONLINE