Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau memandang serius perkara tersebut selepas terdapat dakwaan wujudnya unsur ketirisan melibatkan kontraktor yang dilantik secara terus untuk membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, yang merupakan akademi pusat NFDP, melibatkan kos RM85 juta.

“Saya sendiri akan menilai dan melihat, jika perlu pengauditan kita kena buat dan kalau perlu siasatan kita akan maklumkan kepada SPRM.

“Saya agak serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu (Pengarah NFDP) Lim Teong Kim, barisan kejurulatihan dan sekarang di sini, semua orang cakap perkara yang sama.

“Apabila kita sedang sibuk membincangkan isu-isu yang besar, perkara asas seperti bola pun tidak mencukupi.

“AMD sepatutnya menjadi pusat kecemerlangan yang setaraf dengan akademi Bayern Munich, Jepun dan Korea Selatan. Namun disebabkan perkara-perkara sebegini wujud banyak kelemahan,” katanya kepada pemberita selepas sesi Townhall NFDP di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE