Kisah perpindahan melibatkan pemain berusia 25 tahun itu bermula ketika dia menyertai jelajah pramusim di Amerika Syarikat, kemudian China sebelum ke Asia barat dan kembali ke Barcelona untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan sebelum ke Porto untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pemain tengah Argentina, Javier Pastore dipercayai sudah bersedia untuk menyerahkan jersi No. 10 miliknya kepada Neymar apabila dia beraksi di Parc des Princes.

Difahamkan Neymar akan di­per­kenalkan secara rasmi pada petang hari pembukaan Ligue 1 menentang Amiens.

“Saya mahu dia rasa selesa dan gembira sejak dari hari pertama,” kata Pastore kepada radio Cedena SER.

Semalam, Barcelona mengakui mereka gagal meyakinkan Neymar untuk kekal di Nou Camp selepas bersama kelab itu selama empat musim.

Pemain itu berangkat ke Porto menaiki jet peribadi dari Barcelona bersama kenalan rapatnya serta bapa yang juga ejennya, Neymar Sr. selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan.

Penasihat Neymar, Wagner Ri­bie­ro mendakwa PSG akan membayar klausa pembelian berjumlah 222 juta euro (RM1.12 bilion) dalam tempoh terdekat.

Jumlah itu dua kali ganda meng­atasi rekod Paul Pogba yang dibe­li pada harga 105.2 juta euro (RM535.23 juta) untuk berpindah daripada Juventus kepada Manchester United tahun lalu.

Neymar berminat untuk berpin­dah ke Paris selepas menerima ta­waran luar biasa yang menyaksikan dia bakal menerima gaji tiga kali ganda sebanyak 30 juta euro (RM152.34 juta) setahun selepas cukai.

Antara sebab lain perpindahan itu berlaku adalah dia cuba untuk keluar daripada bayangan pemain terbaik dunia lima kali Lionel Messi bagi membuktikan dirinya adalah antara pemain terbaik dunia.

“Adalah satu nikmat paling berharga untuk berkongsi kegembiraan bersama awak @neymarjr.

“Saya doakan kejayaan awak di pentas kehidupan baharu. Kita akan berjumpa lagi tkm,” kata Messi menerusi laman Instagram peribadinya.

Tkm adalah singkatan kepada “te quiero mucho” yang membawa maksud, saya sayang awak.

“Terima kasih sahabat. Saya akan merindui awak,” balas Neymar di laman sosial itu. – AFP