Pemain Brazil itu, yang menyempurnakan rekod perpindahan dunia bernilai 199 juta pound (RM1.11 bilion) dari Barcelona pada minggu lepas, sangat berharap dapat diturunkan untuk perlawanan pembukaan Ligue 1 menentang Amiens Sabtu lalu.

Bagaimanapun pemain berusia 25 tahun itu gagal didaftarkan dalam tempoh masa yang diberikan, sekali gus terpaksa menonton aksi rakan sepasukan baharunya menang 2-0 di Parc des Princes.

Menurut akhbar Perancis, L’Equipe, Neymar mungkin terpaksa kekal di tempat duduk penonton sekali lagi minggu ini kerana masih belum melengkapkan dokumennya.

Laman berita melaporkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Perancis belum menerima Sijil Pindahan Antarabangsa Neymar.

Sumber menjelaskan bahawa Barcelona didakwa belum memberikan kebenaran kepada Persekutuan Bola Sepak Sepanyol untuk menghantarnya.

Mengikut peraturan FIFA, Barcelona mempunyai tempoh 15 hari dari permintaan awal untuk menghantar dokumen tersebut, jika tidak mereka akan menghalang Neymar daripada membuat penampilan pertama hingga 20 Ogos ini.

Sementara itu menurut Sky Sports, Neymar sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Barcelona, susulan bonus kesetiaan yang tidak dibayar. – AGENSI