Dengan kedua-dua pasukan saling berusaha keras memantapkan skuad ma­sing-masing sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia 2018 di Rusia, kisah Neymar yang kini dilihat cukup tertekan sejak berhijrah ke Paris Saint Germain (PSG) dari Barcelona terus mendapat perhatian.

Neymar sebelum ini dikaitkan dengan pergaduhan bersama rakan sepasukan di PSG dan tidak terkecuali kisah perselisihan fahamnya dengan jurulatih kelab gergasi Perancis itu, Unai Emery.

Walaupun sudah menjaringkan 11 gol daripada 12 perlawanan, air mata Neymar yang bercucuran dalam sidang akhbar selepas aksi persahabatan menentang Jepun di Lille, Jumaat lalu menggambarkan betapa berat tekanan yang ditanggungnya ketika ini. Brazil menang 3-1 dalam perlawanan itu.

Ketika jurulatih Brazil, Tite cuba menenangkan emosinya, Neymar sempat mengeluarkan kata-kata yang cukup mendalam sebelum meninggalkan sidang akhbar tersebut secara tergesa-gesa.

“Apabila anda menjadi idola dan contoh di mata ramai orang, anda perlu menjadi seorang yang sempurna tetapi saya tidak sentiasa begitu.

“Saya masih muda dan pada usia 25 tahun, saya masih perlu banyak belajar dalam bola sepak,” ujar Neymar sebelum kata-katanya terhenti oleh linangan air mata.

Dia kemudian bingkas bangun meninggalkan wartawan dalam keadaan terpinga-pinga.

Neymar yang menyertai PSG dengan harga 222 juta euro (RM1.09b) jelas sedang berdepan situasi sukar dalam karier­nya berikutan beberapa insiden yang melibatkan dirinya di dalam dan di luar padang.

Ada sesuatu yang tidak kena de­ngannya apabila dibuang padang selepas membalas kekasaran yang dilakukan pemain lawan ketika PSG seri 2-2 dengan Marseille.

Ketika menentang Jepun, walaupun menyumbang satu gol tetapi kekasaran yang dilakukan dengan menyepak belakang kepala Hiroki Sakai dilihat tidak wajar sebagai pemain yang di­segani.

Lebih membimbangkan penyokong PSG apabila timbul laporan dari Brazil bahawa Neymar mula menyuarakan kekesalan meninggalkan Barcelona.

Ia diperkuatkan dengan tindakan pemain itu mengunjungi kelab lamanya dua kali bagi bertemu Lionel Messi dan Luis Suarez untuk bertanyakan pandangan jika dia ingin kembali ke Barcelona.

Selain masalah yang dihadapi Neymar, Brazil tidak berdepan kebimbangan besar lain apabila melayan England.

Tite dijangka melakukan sistem penggiliran dengan Neymar dan rakan sepasukannya di PSG seperti Dani Alves dan Marquinhos, selain Philippe Coutinho dan Diego bakal memperkuatkan skuad bintang itu. – AFP