Pada ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia akan menyempurnakan sepak mula Khamis ini di Moscow antara tuan rumah, Rusia dan Arab Saudi, Neymar pula menemui sentuhan jaringan buat kali kedua dalam tempoh seminggu sewaktu melakar kemenangan 3-0 ke atas Austria.

Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho turut menjadi penyumbang gol di Vienna dalam perlawanan yang menyaksikan pemain termahal di dunia, Neymar mengesahkan dia kini kembali cergas sepenuhnya selepas menjalani pembedahan kaki, tiga bulan lalu.

Skuad Brazil yang telahpun tiba di Black Sea, Sochi, hari ini, bakal bertemu Switzerland dalam perlawanan pembukaan pada 17 Jun.

Jurulatih Brazil, Tite berkata, dia berasa sangat bangga terhadap skuad bimbingannya, walaupun mengakui anak-anak buahnya boleh beraksi lebih klinikal berbanding persembahan yang dipamerkan menentang Austria, semalam.

“Saya tidak tahu had Neymar setakat mana. Kapasiti teknikal dan kreativitinya begitu mengagumkan,” katanya.

Brazil yang diundi dalam Kumpulan E, menghuni kedudukan kedua di belakang juara dunia Jerman dalam ranking FIFA, akan berdepan Costa Rica dan Serbia selepas menentang Switzerland.

Sementara itu, bintang Portugal, Ronaldo menyertai sesi latihan Piala Dunia pertamanya di pangkalan latihan pasukan dekat Kratovo, di tenggara Moscow, lima hari sebelum aksi pembukaan menentang Sepanyol.

Kesemua 23 pemain di dalam skuad Fernando Santos itu menyertai sesi latihan selama 90 minit yang diadakan di dalam hujan gerimis dan suhu sejuk yang mencecah 10 darjah Celsius.

Dalam perkembangan lain, Mesir amat berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya kehadiran pemain sayap Liverpool, Salah, yang ditimpa kecederaan pada perlawanan akhir Liga Juara-juara, dalam percubaan mereka untuk melepasi saingan kumpulan buat kali pertama.

Salah menghadiri sesi latihan terakhir Mesir di Kaherah, Sabtu lalu, tetapi tidak mengambil bahagian bersama rakan sepasukannya. Pemain itu sekadar melakukan sesi latihan ringan.

“Pasukan kami bersedia untuk mengharungi pertandingan ini dan moral mereka berada di tahap yang tinggi,” kata pengurus pasukan, Ihab Leheta kepada AFP sebaik tiba di Lapangan Terbang Grozny. - AFP