Selain menyumbangkan satu gol solo yang cantik, penyerang berusia 26 tahun itu terlibat dalam dua lagi gol Brazil yang disumbang Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho sebelum dikeluarkan pada minit ke-83 kerana semakin menjadi mangsa terjahan keras pemain Austria.

Sebelum ini, Neymar turut menjadi penyumbang gol ketika turun beraksi buat kali pertama menentang Croatia minggu lalu yang menyaksikan Brazil menang 2-0. Jaringan hari ini merupakan gol ke-55 Neymar di peringkat antarabangsa.

Buat kali pertamanya juga, Brazil menggandingkan kuartet Neymar bersama-sama dengan Jesus, Coutinho dan Willian dalam aksi hari ini yang jelas memberi kegerunan baharu kepada bahagian serangan juara dunia lima kali itu.

Austria yang tidak layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 jelas terpaksa akur dengan kehebatan Brazil. Mereka tidak hilang apa-apa tetapi hanya kehilangan rekod bersih lapan perlawanan persahabatan mereka sahaja termasuk menewaskan Jerman seminggu yang lalu.

“Tumpuan dan semangat juang pasukan ini semakin menonjol. Hari ini menjadi satu lagi contoh tentang kekuatan mental dan kematangan pasukan kami. Ia perlawanan yang sukar secara fizikalnya dan kami melakukannya dengan baik,” kata jurulatih Brazil, Tite.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan bahawa barisan pemain yang diturunkan hari ini akan menjadi pilihannya apabila menentang Switzerland dalam aksi pembukaan Kumpulan E pada 17 Jun ini.

Sebagai rekod, Brazil hanya kalah sekali sahaja iaitu kepada Argentina sepanjang 21 aksi persahabatan mereka menjelang Piala Dunia 2018 di Rusia sejak berada di bawah bimbingan Tite dua tahun lalu.

Turut berada dalam satu kumpulan dengan mereka dan Switzerland adalah Costa Rica dan Serbia. – REUTERS