Detik kontroversi melibatkan penyerang Brazil itu sempat dirakam penonton yang berada di Stade de France dan tersebar di media sosial tidak lama selepas PSG dikejutkan menerusi penentuan sepakan penalti 5-6 kepada Rennes.

Insiden itu tercetus selepas Neymar tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki merakam gambarnya menggunakan telefon bimbit ketika sedang menaiki tangga untuk mengambil pingat.

Bekas bintang Barcelona itu menggunakan tangan kanannya untuk menolak telefon lelaki berkenaan sebelum kedua-duanya dilihat bertikam lidah. Neymar juga sempat menghayunkan tangan sehingga terkena dagu peminat tersebut.

Penyerang remaja PSG berusia 19 tahun, Moussa Diaby yang berjalan di belakang Neymar segera mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Semalam, Neymar, 27, dikenakan penggantungan tiga perlawanan Liga Juara-Juara musim depan kerana mempertikaikan keputusan pengadil dalam media sosial sejurus selepas kekalahan PSG kepada Manchester United, bulan lalu.

Dalam final Piala Perancis hari ini, PSG yang menjadi pilihan untuk menjulang trofi kedua selepas menjuarai Ligue 1 bagaimanapun tewas mengejut biarpun mendahului Rennes 2-0.

Rennes berjaya mengheret permainan ke masa tambahan selepas mengikat kedudukan 2-2, sebelum PSG tewas dalam penentuan sepakan penalti. - AGENSI