Kemenangan itu amat bermakna untuk Negeri Sembilan dan memulihkan semangat para pemainnya selepas mengalami lima kekalahan berturut-turut.

Negeri Sembilan mendahului pada minit ke-12 melalui jaringan Nicolas Leandro Velez yang menolak masuk ke gawang Selangor ketika penjaga gol, Norazlan Razali meluru keluar untuk menyelamatkan bola.

Tidak sampai seminit, Selangor menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang kaki kiri penjaring terbanyak liga, Rufino Segovia Del Burgo dari jarak 20 meter dari pintu gol tuan rumah.

Permainan bertambah rancak dengan Negeri Sembilan kembali di depan pada minit ke-17 apabila dihadiahkan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Selangor, A. Namathevan dalam petak penalti.

Pemain import tuan rumah, Flavio Beck Junior menyempurnakan tendangan penalti tersebut.

Separuh masa kedua, Selangor menggandakan asakan mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan mencuri peluang menjaringkan gol ketiga pada minit ke-74, sekali lagi melalui Leandro Velez.

Pemain itu yang menerima hantaran daripada Angel Aldeguer Guirado bijak melakukan bola lambung untuk memperdayakan Norazlan. - UTUSAN ONLINE