Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan gandingan lima pemain import serta tempatan yang dipilih mewakili pasukan itu bagi berdepan saingan yang akan bermula 3 Februari depan.

"Dengan pemain yang ada, kita mahu menjulang sekurang-kurangnya satu piala sama ada Piala Liga, Piala FA atau Piala Malaysia.

"Bagaimanapun, perkara lebih utama adalah memastikan skuad bimbingan Jorg Peter Steinebrunner berada dalam posisi lima pasukan terbaik sepanjang musim 2018," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Pasukan Liga Super, Presiden dan Piala Belia di sini hari ini.

Mohamad berkata, beliau tidak mahu memberikan tekanan terlalu tinggi kepada para pemain memandangkan skuad Hoben Jang Hoben baru memasuki Liga Super.

"Kita mahu setiap pemain berasa selesa dalam saingan liga ini. Kita tidak mahu memberi tekanan kepada mereka.

"Saya berharap para pemain dapat menunjukkan kemampuan beraksi dengan baik supaya kita dapat memberi saingan yang sengit kepada pasukan lain," ujarnya.

Dalam pada itu Mohamad memberitahu, setiap pemain yang dipilih mewakili negeri ini termasuk para pegawai perlu menandatangani perjanjian tatatertib mulai tahun ini.

"Para pemain mesti ada disiplin yang tinggi sebagai seorang profesional. Jangan hanya mahu profesional dari segi gaji tetapi sikap dan peribadi pula sebaliknya. Itu tidak akan membawa kita ke mana-mana.

"Jika didapati ada antara mereka melanggar tatatertib ini, mereka akan dikenakan penalti tertentu yang menyebabkan gaji ditolak," tegasnya.

Pada majlis itu juga, Mohamad turut memperkenalkan penaja pasukan Negeri Sembilan iaitu Matrix Concept Holdings Bhd, Negeri Roadstone Sdn. Bhd., Hospital Pakar Salam, Al-Ikhsan dan Seri Pajam Development Sdn. Bhd.- UTUSAN ONLINE