“Messi akan menyertai inisiatif kami dan sudah tentu Suarez akan ikut sama. Kami memberitahu dia (Messi) mengenai sasaran kami dan dia fikir ia boleh dilakukan,” kata koordinasi pembida, Fernando Marin.

Dalam pada itu, Menteri Sukan Argentina, Carlos Mac Alister berkata penting untuk mereka mendapatkan sokongan daripada pemain berprofil tinggi seperti pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali seperti Messi dan penyerang sensasi Uruguay, Suarez.

“Pada 2030, kami sudah tiada di sini lagi namun Messi ada. Dia akan menunjukkan kesungguhannya untuk membantu kami. Dia pasti akan menjadi pembawa bendera untuk Piala Dunia,” katanya.

Edisi pertama Piala Dunia diadakan pada 1930 dengan menyaksikan Uruguay sebagai tuan rumah dan mereka turut menjuarai kejohanan berprestij itu selepas menewaskan Argentina 4-2 di Stadium Centenary di Montevideo.

Selain Argentina dan Uruguay, Paraguay turut menjadi salah satu daripada 13 peserta, untuk menampung 32 pasukan dan jumlah tersebut boleh bertambah kepada 48 negara menjelang edisi 2026.

Pada 1930, hanya 18 perlawanan sahaja diadakan namun jumlah tersebut meningkat kepada 80 sekiranya 48 pasukan mengambil bahagian dan angka tersebut sudah tentu memberi kesukaran jika hanya satu negara sahaja yang menjadi tuan rumah.

Sebelum Piala Dunia diputuskan untuk diadakan di Rusia pada Jun ini manakala Qatar pada 2022, pembida bagi edisi 2026 masih belum ditentukan.

Tiga negara tersebut yang mahu membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2030 diketuai oleh presiden yang pernah menjawat jawatan penting dalam persatuan bola sepak sebelum mereka mentadbir negara masing-masing.

Presiden Argentina, Mauricio Macri pernah memimpin kelab terkemuka di negaranya iaitu Boca Juniors manakala Presiden Uruguay, Tabare Vazquez mengetuai Atletico Progresso dan Horacio Cartes (Paraguay) pernah menjadi bos di Club Libertad. - AFP