Dalam saingan tersebut, PKNS selaku tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang Kpah Sherman seawal minit keempat, namun skuad Bos Gaurus berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Brendan Gan tujuh minit berselang.

Semut Merah bagaimanapun berada di depan semula selepas pertahanannya Nick Swirad menjaringkan gol tiga minit sebelum waktu rehat.

Empat minit selepas babak kedua bermula, Perak menyamakan kedudukan menerusi jaringan J. Partiban, namun mereka sekali lagi ketinggalan apabila penyerang dari Liberia, Sherman meledak gol pada minit ke-52.

Bos Gaurus bagaimanapun menarik nafas lega apabila pertahanannya, Nazirul menyelamatkan pasukan pelawat itu daripada pulang dengan kosong.

“Kalau lihat keseluruhan permainan, saya tidak berpuas hati terutama kita bekerja keras untuk mendapatkan tiga gol dan selepas itu kami dibolosi dengan gol-gol yang senang.

“Kami leka, kami tidak memberikan fokus yang patut kerana tiga kali mendahului Perak. Walaupun saya tahu bahawa Perak merupakan sebuah pasukan yang bagus, dengan terdapat perbezaan intensiti.

“Bagaimanapun setiap kali kami membuat serangan balas, kami nampak bahaya tetapi gagal menjaringkan gol,” kata pengendali PKNS, Datuk K.Rajagobal.

Keputusan tersebut menyaksikan PKNS menduduki tangga kelima, manakala Perak di tempat kelapan, setelah kedua-dua pasukan memungut satu mata.- UTUSAN ONLINE