Siasatan yang berlarutan agak lama mendapati, Herrera, 29, terlibat memanipulasi keputusan perlawanan ketika membantu Real Zaragoza menentang Levante pada 2011.

Zaragoza menang 2-1 untuk mengelak daripada tersingkir, namun terdapat dakwaan pemain Levante telah menerima bayaran tunai. Deportivo La Coruna menjadi mangsa apabila tersingkir ke divisyen dua.

Herrera bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam sebarang kes mengatur perlawanan.

“Seperti yang pernah saya katakan pada 2014, iaitu ketika isu ini dibangkitkan, saya tidak pernah dan tidak akan sesekali terlibat dalam kes memanipulasi keputusan perlawanan.

“Kalau saya dipanggil untuk memberi keterangan, saya dengan gembiranya bersedia memberi kerjasama.

“Saya cintakan bola sepak dan saya percaya kepada fair play (permainan bersih), sama ada di dalam mahu pun di luar padang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes tersebut telah dibuka semula oleh Mahkamah Wilayah Valencia, bulan lalu selepas pendakwaraya negeri dan Deportivo mengemukakan rayuan kerana memperoleh bukti yang lebih kukuh.

Sementara itu, Sanchez menerima penangguhan hukuman penjara 16 bulan selepas didapati bersalah tidak mengisytihar pendapatannya ketika bersama Barcelona.

Sanchez, 30, dituduh tidak membayar cukai di Sepanyol berjumlah 983,000 euro (RM4.72 juta) membabitkan hak imej pada 2012 dan 2013 dengan menggunakan sebuah syarikat perniagaan palsu (shell company) di Malta. Dia tidak menyatakan pendapatan ketika mengemukakan pulangan cukai.

Pemain Chile itu mengaku bersalah, dan sebagai tambahan kepada hukuman, dia turut didenda 590,000 euro (RM2.85 juta) dan diperintah membayar cukai yang belum dijelaskan.

Sanchez diberi penangguhan hukuman penjara selama lapan bulan untuk setiap pertuduhan dengan denda masing-masing 353,000 euro (RM1.69 juta) dan 237,000 euro (RM1.14 juta).

“Biarpun Alexis tidak melakukan jenayah, kami mengambil tanggungjawab.

“Atas nasihat penasihat, kami menerima perjanjian berat sebelah bagi meredakan tekanan emosi, peribadi dan kewangan yang datang daripada kes yang berlanjutan,” kata ejen Sanchez, Fernando Felicevich. – AGENSI