Skuad bimbingan Maurizio Sarri itu keciciran tujuh mata di belakang Juventus apabila mereka ketinggalan sehingga minit ke-89 di Stadium San Paolo.

Jaringan penyerang Poland, Mariusz Stepinski pada minit ke-73 telah meletakkan pasukan yang berjuang bagi mengelak daripada berada dalam zon penyingkiran di depan, dengan penjaga gol Chievo, Stefano Sorrentino beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk penalti Dries Mertens.

Namun, Milik menanduk masuk gol penyamaan hanya seminit sebelum waktu sebenar permainan tamat dengan pemain tengah, Diawara meledakkan gol kemenangan sewaktu masa kecederaan.

“Kami mencatat kemenangan yang selayaknya kami miliki. Kami seperti disumpah dengan 31 percubaan ke pintu gol, gagal menyempurnakan sepakan penalti dan bola terkena tiang gol. Ini merupakan salah satu perlawanan klasik di mana pasukan sudah melakukan segalanya, tetapi bola tidak mahu membolosi gawang.

“Bagaimanapun, para pemain tidak berputus asa untuk terus berusaha dan kesimpulan logik ialah memenangi perlawanan ini,” kata Sarri.

Juventus yang melakar kemenangan 4-2 ke atas Benevento, Sabtu lalu, telah melebarkan jurang kedudukan kepada tujuh mata, dalam pemburuan kelab gergasi Turin itu memburu gelaran ketujuh berturut-turut.

Bagaimanapun, jurang itu kembali kepada empat mata dengan tujuh perlawanan berbaki dan Napoli terus berusaha menghadirkan tekanan bagi merangkul Scudetto pertama mereka sejak 1990. - AFP