Juventus pula melakar kemenangan 2-0 di Fiorentina yang menempatkan mereka seketika di kedudukan teratas liga, tetapi skuad bimbingan Maurizio Sarri itu menyahut cabaran dengan penuh gaya bagi mengekalkan kelebihan satu mata ke atas juara bertahan enam kali tersebut.

Lazio yang ditimpa kekalahan ketiga berturut-turut menghuni tempat ketiga, ketinggalan 17 mata di belakang Napoli, kini diancam oleh Inter Milan dan Roma yang mana masing-masing bakal menentang Bologna, malam ini, serta pasukan corot, Benevento, awal pagi ini (waktu Malaysia).

“Kemenangan ini diperoleh dengan sepenuh hati dan jiwa. Kami berganding bahu untuk mengejar impian. Kami memberikan segala-galanya sehingga ke hujung permainan.

“Kami menyimpan impian ini di dalam minda kami sejak hari pertama latihan pra-musim lagi dan perlu mengekalkan persembahan seperti ini,” kata penjaring gol Napoli, Jose Callejon yang mana pasukannya kini mensasarkan untuk memburu gelaran ketiga Serie A yang pertama sejak 1990.

Lazio mendahului di Naples menerusi jaringan pertahanan Belanda, Stefan de Vrij yang menjaringkan gol seawal minit ketiga di Stadium San Paolo setelah menerima hantaran silang Ciro Immobile, sebelum pemain Sepanyol, Callejon menyumbat gol penyamaan untuk tuan rumah tidak lama sebelum rehat babak pertama.

Gol kedua Napoli hadir menerusi jaringan sendiri, apabila pemain pertahanan Lazio, Wallace yang cuba memintas percubaan Callejon pada minit ke-53 membolosi pintu gol yang dikawal penjaga golnya, Thomas Strakosha.

Dua minit berselang, nasib Lazio bertambah buruk apabila bek kiri Mario Rui menjaringkan gol hasil rembatan jarak jauh, manakala pemain tengah Poland, Piotr Zielinski menjadi perancang kepada gol Dries Mertens, yang kembali daripada kecederaan buku lali untuk jaringan keempat dan gol ke-15 pemain itu dalam Serie A, musim ini selepas minit ke-72.

“Saya menyaksikan perlawanan buruk dipamerkan Lazio. Kami berhak tewas. Kami tidak langsung memberikan cabaran dalam babak kedua dan menentang Napoli, anda perlu membayar harga yang cukup mahal,” kata jurulatih, Simone Inzaghi.

Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Patrick Cutrone meledakkan dua gol, manakala Lucas Biglia dan Fabio Borini turut menjaringkan gol bagi membantu AC Milan melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas SPAL yang sekali gus menghidupkan peluang beraksi dalam pertandingan Eropah. - AFP