Difahamkan skuad Arsenal berasa amat marah terhadap kedegilan Arsene Wenger dan kekurangan program pembangunan di kelab itu.

Menurut sumber dalaman yang memberitahu ESPN, para pemain kini berasa amat kecewa dan mereka mahu satu tindakan serius diambil.

Mereka juga ada berbincang tentang pengganti yang sesuai bagi mengisi jawatan pengurus dengan Thierry Henry, Carlo Ancelotti dan Rafael Benitez antara calon yang berada dalam senarai.

Selain itu, para pemain juga tidak gembira Alexis Sanchez menyertai Manchester United kerana mereka percaya bintang antarabangsa Chile itu tidak sepatutnya dijual kepada pasukan pesaing.

“Ramai pemain yang tidak mahukan Wenger. Mereka tidak gembira dengan taktik dan sesi latihan yang dikendalikannya.

“Para pemain juga tidak mahu sebarangan pengurus di bawa masuk, malah ada yang menyebut tentang Henry, Ancelotti dan Benitez sebagai calon yang layak, tetapi mereka amat kecewa.

“Rata-rata mereka tidak gembira tentang penjualan Sanchez kepada Manchester United. Alexis memang diakui memberikan kesukaran kepada pasukan, tetapi para pemain berpendapat kelab melakukan kesilapan dengan menjualnya kepada pasukan pesaing,” kata sumber tersebut kepada ESPN.

Di sebalik nama Henry, Ancelotti dan Benitez yang dibincangkan, ESPN melaporkan bahawa Joachim Low turut menjadi pilihan utama bagi menggantikan Wenger.

Sokongan penyokong terhadap Wenger juga jatuh merudum selepas 88 peratus peminat tegar mengundi agar kontrak pengurus itu ditamatkan sebaik musim ini berakhir. – AGENSI