Begitupun di sebalik kemenangan tersebut, Red Devils kini pening kepala memikirkan tuntutan beberapa bintang utama yang mahu gaji mereka dinaikkan atau akan meninggalkan Old Trafford.

Penjaga gol, David De Gea mahu United menawarkan kontrak 350,000 pound (RM1.86 juta) seminggu atau dia akan menyertai gergasi bola sepak Eropah lain yang bersedia memberikan gaji seperti diminta iaitu Real Madrid atau Paris Saint-Germain (PSG).

Menurut akhbar Britain, The Sun keengganan United menawarkan gaji lebih daripada 250,000 pound (RM1.34 juta) seminggu kepada pemain berusia 28 tahun itu menyebabkan rundingan pembaharuan kontrak masih menemui jalan buntu.

Kontrak De Gea yang menyertai United dari Atletico Madrid pada 2011 akan berakhir pada hujung musim ini.

Selain De Gea, seorang lagi bintang Sepanyol, Ander Herrera turut menuntut kenaikan gaji sehingga 200,000 pound (RM1.06 juta) seminggu.

Sama seperti De Gea, kontrak pemain tengah berusia 29 tahun itu akan berakhir pada hujung musim ini, dan dia kini berada dalam senarai dikehendaki PSG.

Jika De Gea menerima gaji 200,000 pound ketika ini, gaji Herrera yang menyertai United pada 2014 dari Athletico Madrid pula jauh lebih rendah iaitu 130,000 pound (RM692,000) seminggu.

Menurut Daily Mail, United hanya bersedia menaikkan gaji Herrera kepada 170,000 pound (RM906,000) seminggu.

Sekiranya Solskjaer gagal menangani isu tuntutan gaji pemain dengan baik, pasukan itu berisiko kehilangan tiga tonggak dari Sepanyol - De Gea, Herrera dan Juan Mata. – AGENSI