Beliau berkata kemenangan menerusi gol pada masa tambahan itu membuktikan Negeri Sembilan berada di landasan betul dalam menghadapi persaingan kejohanan itu.

“Kami memang membuat persediaan rapi pada kali ini untuk mencapai hasrat tersebut.

“Sebelum ini kekangan kewa­ngan menjadi salah satu penghalang sehingga memberi kesan kepada pasukan kami. Dengan kemenangan ini, saya harap kami akan menerima lebih perhatian dan peruntukan serta sokongan lebih baik lagi,” katanya.

Perlawanan akhir itu berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis semalam.

Kejayaan itu membolehkan Negeri Sembilan membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM40,000 sementara Perlis menerima RM20,000.

Kejayaan Negeri Sembilan itu sekali gus menghampakan harapan Perlis untuk menjadi juara kejohanan untuk kali ketiga berturut-turut walaupun mendahului pada minit ke-55 menerusi ketua pasukan Anas Shahrom.

Nurhafizi Ibrahim menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat 90 minit untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan yang menyaksikan Mohd. Hafiz Mohd. Nor menjaringkan gol kemenangan Negeri Sembilan.

Mustapha berkata beliau bersyu­kur dan menyifatkan kemenangan tersebut adalah berkat usaha dan semangat kental para pemain.

“Saya harap kami akan dapat mengekalkan pemain sedia ada untuk menghadapi kejohanan musim depan. Pasukan kini sedang menyertai Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar Negeri Sembilan anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS),” katanya.

Mengenai hadiah kemenangan RM40,000 itu, beliau berkata hadiah itu akan dibahagikan sama rata antara pemain.

“Kami juga akan berbincang untuk memberi insentif kepada pasukan ini. Saya akan berjumpa dengan orang perseorangan dan syarikat yang telah berjanji untuk memberi ganjaran tersebut,” katanya.