Kemenangan 3-1 ke atas Belarus hari ini menghidupkan peluang skuad bimbingan Dick Advocaat, namun ia tidak cukup untuk meletakkan mereka di tangga kedua - slot untuk ke Rusia tahun depan.

Kemenangan 8-0 yang dilakar Sweden ke atas Luxembourg meletakkan pasukan itu di tangga kedua dan memiliki kelebihan gol yang besar berbanding Belanda, sekali gus menyukarkan misi Oranje untuk muncul naib juara kumpulan di belakang Perancis, yang menang tipis 1-0 ke atas Bulgaria dalam satu lagi perlawanan.

Robben berjaya membawa ­Oranje muncul naib juara Piala Dunia 2010, namun kini dia bersedia melupakan aksi di Rusia.

“Hakikat ini menyakitkan, namun ia sebahagian daripada sukan.

“Selepas melihat kemenangan yang dicatat Sweden, saya sedar tidak banyak yang boleh dilakukan selain cuba yang terbaik pada kesempatan terakhir yang ada.

“Kami gagal menang 8-0 di Belarus dan tidak mungkin boleh menang 7-0 ke atas Sweden di tempat sendiri (Selasa).

“Apabila anda dengar mereka (Sweden) menang 8-0, ia memberi tamparan hebat,” kata Robben kepada stesen televisyen Belanda, ONS.

Kapten Belanda itu bagaima­napun tidak senada dengan jurulatih mereka, Advocaat yang enggan berputus asa dan akan terus berjuang.

“Realitinya ia akan menjadi sangat sukar tetapi saingan belum berakhir.

“Kami ada satu lagi perlawanan dan segalanya mungkin,” kata Advocaat.

Dalam aksi di Borisov Arena, Barysaw, Davy Propper meletakkan Belanda di depan pada minit ke-25, namun Maksim Volodko menyamakan kedudukan buat tuan rumah di minit ke-55.

Penalti Robben (minit ke-84) dan jaringan Memphis Depay pada waktu kecede­raan memastikan kemenangan pelawat.

Di Solna, empat gol Marcus Berg, selain pe­nalti yang disempurnakan Andreas Granqvist dan satu jaringan masing-masing menerusi Mikael Lustig serta Ola Toivonen memastikan kemena­ngan besar Sweden. – AGENSI