ADLY ZAHARI
ADLY

Presidennya, Adly Zahari berkata, inisiatif untuk membawa pulang pemain-pemain untuk menabur bakti bersama pasukan bola sepak negeri asal mereka sedang dilakukan oleh pihak pengurusan Musa ketika ini.

"Antara fokus kita sekarang adalah menilai semula pemain-pemain kelahiran Melaka yang berada di seluruh Malaysia. Kita akan berusaha untuk menarik balik pemain dari Melaka.

"Ini inisiatif yang sedang kita buat dan saya yakin sekiranya mereka (pemain) ada semangat 04 (kod negeri kelahiran dalam MyKad) ini, mereka akan kembali (menyertai Melaka United) termasuk bekas pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lih Jen, Melaka semalam.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka bagaimanapun tidak memperincikan butiran pemain-pemain yang sedang diintai untuk menyertai skuad Sang Kancil.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, persembahan skuad yang cemerlang dan konsisten amat dititikberatkan oleh MUSA dalam saingan Liga Super musim depan biarpun berdepan dengan peruntukan yang terhad.

"Persembahan yang terbaik sememangnya diharapkan oleh Musa. Dengan bajet yang terhad, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan pemain yang terbaik bagi memantapkan pasukan tetapi kita akan berusaha dan yakin ia dapat dilaksanakan," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Musa, Datuk Yusoff Mahadi dilaporkan mengesahkan melantik bekas jurulatih Pahang, Selangor dan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan selaku ketua jurulatih bagi membimbing pasukan itu untuk musim 2019.

Keputusan melantik Zainal Abidin bagi menggantikan E. Elavarasan itu mendapat persetujuan daripada Adly dengan majlis menandatangani perjanjian tersebut dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Pengalaman yang ada pada pemain legenda Selangor itu menjadi salah satu faktor beliau dipilih untuk mengendali skuad Sang Kancil pada musim baharu nanti.

Untuk rekod, Melaka United menamatkan saingan Liga Super musim ini ditangga ketujuh keseluruhan dengan 31 mata. - UTUSAN ONLINE