Pentas yang melahirkan bintang bola sepak dunia seperti Cesc Fabregas (Arsenal) dan Fernando Torres (Liverpool) ini akan cuba mencungkil bakat baru bola sepak dari negara ini untuk diketengahkan sekurang-kurangnya sebagai pelapis kepada pemain bola sepak kebangsaan.

Pegawai Pemasaran Sukan Nike Malaysia, J. Siva Shanker berkata, kejohanan Manchester United Premier Cup-Nike 2009 tahun ini dibahagikan kepada lima peringkat.

Katanya, pertandingan yang diadakan di Pahang, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak itu secara rasmi akan bermula esok yang akan memilih 10 pasukan untuk bertarung pada peringkat akhir di Kuala Lumpur pada 29 Mei ini.

Bagi yang layak katanya, mereka akan mewakili Malaysia mengharungi peringkat kelayakan Zon Asia Selatan yang diadakan di Bali, Indonesia Jun ini dan sekiranya layak, mereka akan mewakili zon ini ke Piala Perdana Remaja Manchester di England pada Ogos.