Mukhriz Tun Mahathir

Menurut Mukhriz, pihaknya bagaimanapun perlu menyerahkan kepada rakyat negeri ini khususnya penyokong Lang Merah dan persatuan berkenaan sama ada mahu mencalonkannya untuk merebut jawatan Presiden KFA atau tidak.

“Saya terbuka, di bawah apa kapasiti pun saya akan memastikan kita akan memberi perhatian sewajarnya terhadap pembangunan bola sepak di negeri Kedah. Dalam soal jawatan itu, saya terbuka kepada apa cadangan sekali pun.

“Kalau dirasakan saya sesuai menerajui KFA sekali lagi, saya menerima cadangan itu. Tapi nak tanya dulu sama ada itu perlu atau cukup sekadar saya membantu dari luar kerana sebelum ini kita (PH) membuat kenyataan untuk mengelak orang politik dalam KFA,” kata­nya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari pertama memulakan tugas sebagai Menteri Besar secara rasmi di Wisma Darul Aman, di sini.

Pelembagaan KFA sebelum ini menetapkan Presiden persatuan itu adalah Menteri Besar, namun diubah pada 2010 menyaksikan jawatan tersebut dan eksekutif KFA bukan lagi automatik, sebaliknya dipertandingkan.

PH Kedah dalam manifesto PRU-14 lalu menjanjikan akan menilai penglibatan ahli politik dalam KFA.

Mukhriz berkata, pihaknya menyerahkan soal pencalonan itu kepada eksekutif KFA.

“Kita juga boleh mendapatkan pandangan orang ramai tentang perkara ini menerusi media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook,” ujarnya.