Menurutnya, mereka yang terlibat merupakan individu yang telah dicalonkan dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya dilantik.

"Kata kuncinya adalah 'lantikan'. Untuk jawatan yang dilantik, kami akan elak daripada melantik ahli politik semata-mata bagi memenuhi kekosongan sebagai imbuhan buat mereka, sebaliknya memberi laluan kepada golongan profesional.

"Tetapi apa yang kita saksikan hari ini adalah proses pemilihan dalam KFA yang mana pencalonannya datang dari ahli gabungan. Memang benar ada calon tersebut merupakan ahli politik namun saya kira pertimbangan dibuat terhadap mereka ini kerana keupayaan untuk melonjakkan bola sepak negeri selain bersandarkan rekod masing-masing,' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Kongres KFA ke-43 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Selain Mukhriz yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Presiden, Setiausaha Politik beliau, Anas Hafiz Mustafa terpilih menjadi Naib Presiden KFA manakala Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri, Mohd Aizad Roslan turut mendapat kepercayaan sebagai Ahli Eksekutif KFA.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, Pakatan Harapan negeri dalam manifestonya ada menyatakan untuk menilai semula penglibatan ahli politik dalam KFA.

Sementara itu Mukhriz turut menyatakan keazaman untuk memenuhi hasrat penyokong yang mahu melihat Lang Merah beraksi di peringkat lebih tinggi daripada hanya sekadar menjadi antara pencabar utama dalam liga kebangsaan.

Justeru katanya, beliau mahu supaya KFA serta ahli gabungannya memenuhi apa jua syarat ditetapkan oleh pihak berwajib bagi memastikan pasukan itu layak untuk beraksi di mana-mana tahap terutamanya di peringkat Asia.

"Para peminat dan penyokong Kedah banyak minta supaya kita beraksi dalam Piala AFC, jadi itu antara perkara yang akan diberi tumpuan.

"Saya nak lihat KFA dan ahli gabungan penuhi semua syarat ditetapkan supaya Kedah layak beraksi di semua peringkat, bukan hanya dalam negara ini malah di peringkat Asia," katanya.

Mengulas mengenai bajet sebanyak RM30 juta seperti digariskan KFA untuk tahun ini, beliau berkata perkara itu akan diteliti bagi menyemak semula setiap perbelanjaan yang dilakukan.

"Semakan itu juga merupakan sebahagian daripada cara kami untuk menyakinkan bakal penaja yang KFA sememangnya mengamalkan perbelanjaan berhemah," katanya. - UTUSAN ONLINE