Semalam, skuad bimbingan Vingada jatuh empat anak tangga ke kedudukan 170 dunia dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), keputusan yang sudah dijangka ekoran aksi kurang memberangsangkan yang ditunjukkan pasukan kebangsaan.

Walaupun kedudukan itu bukan yang terburuk buat Malaysia, yang pernah menghuni ranking ke-174 pada April dan Mei 2016, namun ia adalah yang paling teruk dicatat pasukan kebangsaan sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mac lalu.

Vingada ketika ditanya mengenai kemerosotan itu sebaliknya berkata: “Sekarang saya tidak mahu bercakap. Selepas perlawanan di Hong Kong saya telah menjawab semua soalan yang perlu.

“Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada baki tiga perlawanan kelayakan Piala Asia 2019. Selepas itu, baru saya boleh bercakap”.

Menurut pengendali dari Portugal itu, dia akan membawa masuk beberapa muka baharu untuk menghadapi misi sukar mencari kemenangan dalam tiga perlawanan Kumpulan B menentang Lebanon serta Korea Utara.

“Saya mahu menonton perlawanan separuh akhir (Piala Malaysia) dan aksi terakhir (Liga Super) untuk membuat pilihan bagi menghadapi perlawanan November (kelayakan Piala Asia 2019).

“Sudah tentu (terdapat muka baharu yang akan beraksi bersama Harimau Malaysia), termasuk beberapa pemain yang beraksi di Hong Kong.

“Ya (ramai pemain di luar sana yang lebih baik). Saya akan lakukan demi memperbaiki ranking Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengendali berusia 64 tahun itu sehingga kini masih mencari kemenangan sulung setelah tewas empat kali dan seri sekali sejak menduduki kerusi ketua jurulatih pada Mei lalu.

Harimau Malaya akan meneruskan saingan Kumpulan B menentang Korea Utara pada 14 November ini, namun venue perlawanan masih belum ditentukan. - UTUSAN ONLINE