Penyerang Jerman itu meledak dua gol dalam perlawanan yang menyaksikan wakil Turki, Besiktas terpaksa mengharungi sebahagian besar saingan di Allianz Arena de­ngan 10 pemain selepas bek te­ngah, Domagoj Vida dibuang padang pada minit ke-16.

“Gol pertama Mueller menyerlahkan kemam­puan sebenarnya. Dia berada pada satu tahap berbeza. Dia tahu, persembahan istimewa diperlukan dalam perlawanan Liga Ju­ara-Juara.

“Dia bebas da­ripada kece­deraan dan saya percaya lebih banyak gol boleh dihasilkan.

“Prestasi baik­nya menjadi motivasi kepada pemain lain. Dia sa­ngat penting dalam sistem kami, bukan sahaja kerana gol tetapi juga gerakannya,” kata jurulatih Ba­yern, Jupp Heynckes, orang yang bertanggungjawab menaikkan semula permainan Mueller.

Mueller, penjaring terbanyak bersama pada Piala Dunia 2010 membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-43, dan Kingsley Coman kemudian menggandakan kedudukan 2-0 sembilan minit berselang.

Hanya 11 minit selepas babak kedua bersambung, Mueller meledak gol peribadi keduanya, sebelum Robert Lewandowski memahat nama sebagai penjaring dua lagi gol pada minit ke-79 dan 88.

Walaupun pernah memiliki kejuaraan Piala Dunia, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab, Bundesliga (enam) dan Piala Jerman (empat), namun Mueller tidak mengharungi aksi yang baik sepanjang dua musim lalu.

Dia gagal menemui sentuhan gol pada Kejohanan Eropah 2016 dan hanya menjaringkan sembilan gol (dalam semua pertan­dingan) musim lalu hingga digugurkan oleh Ancelotti daripada kesebelasan utama.

Ancelotti dipecat pada September lalu, dan penggantinya, Heynckes berjaya membantu Muel­ler kembali ke tahap terbaik.

“Apa yang penting adalah me­raih keputusan bagus, dan kad merah itu juga amat membantu kami dalam perlawanan ini.

“Pertukaran strategi permainan pada separuh masa kedua membolehkan kami bermain lebih agresif di bahagian serangan,” kata Mueller. – AGENSI