E. Elavarasan
E. Elavarasan

Menurutnya, biarpun melihat prestasi semasa skuad Sang Kancil tidak konsisten, dia percaya pasukan itu mempunyai potensi untuk lebih maju.

Bekas pengendali PKNS FC itu berkata, pemilihannya sebagai pengendali Melaka Uni­ted oleh Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) terhadap dirinya adalah kepercayaan bahawa dia mampu memikul tanggungjawab untuk memperbaiki mutu persembahan skuad berkenaan.

“Pada masa ini kita lihat keadaan Melaka United agak kucar-ka­cir dengan lima ke­kalahan berturut-turut dihadapi (empat Liga Super, satu perlawanan Piala FA).

“Mungkin pihak pe­­ngurusan melihat pasukan ini memerlukan per­ubahan dari segi corak permainan dan membentuk satu pasukan yang lebih mantap untuk saingan seterusnya,” katanya.

Elavarasan berkata, bagi me­lakukan perubahan pasukan itu, dia akan membuat keputusan selepas perlawanan dengan Perak pada Sabtu ini di tempat lawan.

Katanya, dia akan melakukan peruba­han sama ada secara drastik atau pun me­ngikut keperluan iaitu apa yang perlu diperbaiki atau dikekalkan bagi memastikan Me­-
laka United memper­baiki kedudukan da­lam Liga Super.

“Selepas perlawanan itu ada dua perlawanan pada bulan Ramadan, kita akan lihat perkara-perkara lain termasuk memperbaiki bahagian tengah dan sebagainya,” katanya.

Elavarasan, yang mengikat kontrak bersama Melaka United pada Isnin lalu, menggantikan Eduardo Almeida yang dipecat minggu lalu selepas prestasi buruk dicatatkan pasukan itu ke­belakangan ini.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata pelantikan Elavarasan adalah bagi memberi sentuhan baharu kepada skuad Sang Kancil sekali gus menyelamatkan pasukan itu daripada terus menanggung kekalahan.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu, namun saya mengharapkan sentuhannya dapat memperbaiki nasib Melaka yang sedang berada dalam situasi kritikal ketika ini,” katanya.

Untuk rekod, Elavarasan pernah membimbing skuad Melaka pada musim 2005 hingga 2006 dan berjaya membawa pasukan itu menyertai Liga Super pada 2006-2007. Dia juga pernah membawa PKNS FC ke pentas final Piala FA pada 2016.