Muka baharu itu terdiri daripada tiga pemain yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) II iaitu Mohamad Fandi Othman, Mohd. Azniee Mohd. Taib dan pemain kacukan, Nicholas Ryan Swirad serta Mohd. Norhakim Isa (Perak) dan S. Sivanesan (PKNS).

Turut tersenarai dalam pasukan itu ialah pemain import dari Brazil, Felipe de Almeida Souza, bekas penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic (Rusia) dan Jasmin Mecinovic (Macedonia).

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, langkah tersebut sebagai salah satu usaha memulihkan kembali prestasi skuad Sang Kancil yang terumbang ambing di pusingan pertama yang turut berdepan risiko penyingkiran Liga Super.

“Kesemua mereka ini diserap ke dalam pasukan selepas diteliti barisan kejurulatihan dan teknikal yang berpuas hati dengan tahap kecergasan serta corak persembahan meyakinkan daripada semua pemain yang dipilih.

“Rombakan ini dilakukan bagi memulihkan semula maruah MU yang tercalar selain melihat keperluan mengantikan pemain terutamanya di barisan serangan dan pertahanan yang tidak efektif.

“Kita berharap pemain-pemain baharu ini dapat membantu memperkuatkan pasukan dalam misi untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pasukan Hang Tuah kini menghuni di kedudukan sebelas liga dengan mengumpul sebelas mata hasil dua kemenangan, lima seri daripada 13 perlawanan selain hanya mampu menjaringkan 13 gol dan dibolosi sebanyak 28 gol.

Sementara itu, Mohamad Fandi yang ditemui berkata, beliau akan mengunakan sepenuhnya peluang diberikan untuk memberi aksi terbaik supaya dapat kekal dalam Liga Super.