Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk dan isu itu sudah dirujuk kepada Jawatankuasa Tatater­tib, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami sudah mendapat laporan pengadil perlawanan, pegawai pertandingan dan menye­rahkannya kepada FAM.

“Johor dan Terengganu perlu menjawab pertuduhan terhadap mereka selewat-lewatnya pada 12 September,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Sukma di Jabatan Belia dan Sukan negeri, di sini hari ini.

Pergaduhan itu berlaku pada penghujung perlawanan dalam Kumpulan B itu yang berlangsung di Padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Video kejadian itu turut menjadi viral di laman sosial sejak petang semalam.

Shapawi yang memandang serius kejadian itu meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

“Kami berharap atlet tidak bertindak mengikut perasaan serta mengawal emosi.

“Mereka tidak boleh mengambil tindakan yang akan mencemar kedudukan dan juga nama baik negeri dan pasukan masing-masing.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, gunakan saluran yang be­tul untuk membuat bantahan,” katanya.

Shapawi berharap insiden seumpama itu tidak berulang dan perkara berkenaan tidak menular kepada acara lain sepanjang temasya dwitahunan ber­kenaan.

Johor tewas 1-2 kepada Terengganu dalam perlawanan itu menyebabkan mereka tersingkir daripada persaingan seterusnya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam persaingan peringkat awal.

Laporan