Laporan media Britain mendakwa, bahawa Mourinho akan dipecat pada hujung minggu walau apa juga keputusan yang dicatat di Newcastle dalam perlawanan yang berlangsung, malam ini (waktu Malaysia).

Namun, berdasarkan sumber dalaman kelab, United menafikan sekeras-kerasnya yang mereka akan memecat pengurus tersebut, malah sebaliknya, Mourinho akan diberi ruang untuk mengubah masa depan pasukan ekoran permulaan terburuk yang dicatat Red Devils dalam tempoh 29 tahun.

Menurut laporan media di Britain, Sportsmail mendedahkan, staf balik tabir Mourinho juga telah bersedia dengan keputusan terburuk dan menyerahkan nombor peribadi mereka kepada kakitangan lain seandainya kehilangan kerja.

Jurulatih berusia 55 tahun itu kehilangan sokongan majoriti daripada skuad bimbingannya dan secara terbuka mempersoalkan komitmen para pemain sebelum diikat Valencia dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Keputusan itu turut menyaksikan United gagal melakar sebarang kemenangan di laman sendiri dalam empat perlawanan menjelang kunjungan Newcastle pada hari ini.

United belum pernah mencatat lima perlawanan tanpa kemenangan di Old Trafford sejak Alex Ferguson dipaksa bekerja keras bagi menyelamatkan kariernya pada Disember 1989.

Masa depan Mourinho menjadi tanda tanya, sejak semalam, selepas dia mengadakan sidang akhbar pada waktu di luar kebiasaan iaitu pukul 8 pagi (3 petang waktu Malaysia) dan membiarkan para pemain menginap di kediaman mereka berbanding melaporkan diri di Hotel Lowry selepas spekulasi dia dan ejennya, Jorge Mendes mengadakan pertemuan dengan ketua United, Ed Woodward. Bagaimanapun, laporan terkini difahamkan Mourinho masih terselamat daripada dipecat sehingga cuti rehat antarabangsa, meskipun persekitaran di kelab itu lebih mengambil peduli bilakah pengurus itu akan meninggalkan United. - AGENSI