Skuad bimbingan Mourinho mendahului 1-0 hasil jaringan Anthony Martial sebelum Lingard menguasai bola ketika permainan berbaki sembilan minit untuk tamat di Goodison Park.

Hanya beberapa saat selepas itu, tiga mata penuh sah menjadi milik United apabila pemain berusia 25 tahun tersebut berjaya melepasi benteng pertahanan Everton dan melepaskan rembatan lengkung di sudut atas pintu gol tuan rumah.

Jaringan tersebut merupakan gol ke-10 Lingard musim ini, dan yang keempat dalam lima penampilan terakhirnya.

Selepas mengambil masa yang agak lama untuk memastikan kariernya di United bertapak kukuh, Lingard menyinar di bawah bim­bingan Mourinho, yang menghamburkan pujian terhadap pe­ningkatan prestasinya.

“Satu perkara yang perlu dilakukan selaku pemain muda ialah menjadi pemain berbakat besar.

“Segelintir pemain tidak mampu untuk mengorak langkah sebesar itu. Mereka berubah daripada seorang pemain berpotensi besar kepada pemain biasa sahaja. Lingard merupakan pemain yang mampu melonjak jauh.

“Dia kini lebih konsisten, dan cepat menyesuaikan dirinya, selain memiliki keupayaan untuk cepat memahami sesebuah perlawanan. Dia kini menuju ke arah yang betul,” kata Mourinho.

Jaringan Lingard itu membantu United melakar kemenangan pertama dalam empat perlawanan selepas diikat dengan keputusan seri dan semakin tercicir di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.

United ketinggalan 12 mata di belakang seteru ketat mereka itu tetapi Mourinho, yang melemparkan kritikan terhadap pemain bintangnya baru-baru ini, memuji usaha keras anak-anak buahnya ketika berdepan Everton. – AFP