Jelasnya, United mempunyai kualiti berbeza meskipun tidak dibarisi pemain bertaraf bintang seperti Luka Modric, Toni Kroos, Isco atau Casemiro.

Casemiro meletakkan juara Liga Juara-juara, Real di depan pada minit ke-24 dan Isco menggandakan kelebihan tujuh minit bermula babak kedua menerusi gerakan satu dua dengan Gareth Bale.

Pemain baharu skuad Red Devils, Romelu Lukaku merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-62, sekali gus menandakan penampilan kompetitif pertamanya bersama kelab tersebut.

“Saya gembira dengan banyak perkara dalam persembahan mereka. Kami menemukan cara untuk menyukarkan mereka pada babak kedua.

“Madrid seakan diberi tentangan hebat dan saya amat gembira dengan reaksi kami.

“Kami memiliki peluang besar untuk menjaringkan gol selepas mereka memiliki kelebihan 2-0. Selepas 2-1, Marcus Rashford hanya berdepan penjaga gol.

“Kami bertarung hingga penamat dan saya rasa ini sesuatu yang hebat,” kata Mourinho.

Mourinho tidak menyimpan pingat selaku naib juara, sebaliknya memberikannya kepada seorang penyokong muda United yang menyaksikan perlawanan itu.

“Kadangkala apabila saya menang, saya tidak menyimpan pingat itu, jadi bayangkan jika saya tewas.

“Bagi saya, pingat itu akan berada di satu tempat di rumah saya dan untuk budak itu ia seperti bulan. Sudah tentu dia akan menyimpan dan mengingatinya.

“Dia adalah budak kecil dengan jersi United. Saya tidak tahu dari mana dia datang tetapi saya rasa dia tidak akan melupakannya,” katanya. – AFP