Dalam klip video yang tersebar dalam media sosial, wartawan bertanya kepada pengendali dari Portugal itu berapa jauh pasukannya ketinggalan di belakang kelab-kelab utama.

Mourinho dengan bersahaja menjawab: “Sangat jauh.”

Wartawan yang tidak berpuas hati terus menekannya untuk menjelaskan dengan terperinci apa yang dimaksudkan jauh, dia tetap menjawab: “Jauh. Saya sudah jelaskan sebelum ini.”

Beberapa jam selepas kenyataan itu disiarkan, bekas pemain tengah United, Robbie Savage memberi bayangan Mourinho mungkin dipecat jika pasukannya tewas di Anfield.

United kini menghuni tangga keenam liga dengan 16 mata ditinggalkan pendahulu, Liverpool yang mengumpul 42 mata daripada 16 perlawanan.

“Ada dua perkara yang sukar diterima penyokong United (jika tewas). Pertama kekalahan kepada musuh ketat, kedua jurang mata yang ditinggalkan pendahulu.

“Saya tertanya-tanya, bagaimana ahli lembaga akan bertindak balas jika mereka kalah teruk di Liverpool.

“Lagipun, reaksi yang diberikan ketika membalas soalan wartawan iaitu jurang United sangat ‘jauh’ sukar diterima oleh penyokong.

“Apa yang telah dia lakukan selepas berbelanja 352 juta pound (RM1.86 bilion) sepanjang dua tahun setengah berada di Old Trafford?,” katanya kepada The Mirror.

Sementara itu, jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan, dia tidak menilai United menerusi mata yang dipungut, sebaliknya masih melihat Red Devils sebagai gergasi.

“Saya tidak berminat dengan pungutan mata United dan kami pula tidak akan barada di atas selalu.

“Mereka ada kepantasan, teknik, kekuatan fizikal dan lengkap serba-serbi. United juga memiliki (David) de Gea, (Marcus) Rashford, (Romelu) Lukaku, (Jesse) Lingard, (Anthony) Martial, menakjubkan,” katanya. – AGENSI