United di jadual menentang Crystal Palace pada Ahad ini dan itu adalah perlawanan terakhir bagi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan pada Rabu pula skuad bimbingan Mourinho tersebut akan beraksi dalam saingan penting bagi mendapatkan trofi kedua musim ini selain memburu kelayakan ke Liga Juara-juara.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi United sekadar seri 0-0 menentang Southampton yang menyaksikan pemain bintang seperti Marcus Rashford, Michael Carrick, Ander Herrera, Paul Pogba dan David De Gea tidak diturunkan.

Kata Mourinho, aksi Ahad ini tidak membawa apa-apa perubahan kepada kedua pasukan kerana United tetap akan menamatkan saingan di tempat keenam manakala Crystal Palace akan terselamat daripada zon penyingkiran sekali gus berpendapat perlawanan tersebut wajar diawalkan kepada Sabtu.

“Dalam mana-mana negara, perlawanan akan berlangsung pada Sabtu kerana pada Ahad kami tetap akan meraih tempat keenam tidak kira apa berlaku manakala Crystal Palace akan selamat.

“Jadi selepas Palace menewaskan Hull dan kini Hull sudah tersingkir manakala Swansea terselamat maka sewajarnya perlawanan berlangsung pada Sabtu,” kata Mourinho. - AGENSI