Pertikaman lidah tersebut berlaku sewaktu pengurus Stoke, Hughes berang terhadap Mou­rinho yang memasuki kawasan tenikal pasukannya dan mereka bertengkar mengenai kekasaran yang berlaku di dalam padang.

Sumber berkata, Hughes kemudiannya cuba mempengaruhi pengadil Neil Swarbrick agar memerintahkan bos United itu berada di tempat duduk penonton. Pertengkaran itu membangkitkan kemarahan Mourinho apabila dia bersalam dengan semua staf Stoke kecuali Hughes selepas wisel penamat dibunyikan.

Hughes kemudiannya me­nu­duh Mourinho sakit hati selepas rekod tanpa bolos skuad bim­bingannya lebur setelah tuan rumah menerobos gawang Uni­ted menerusi dua gol Eric Choupo-Moting untuk mengikat Red De­vils dengan keputusan seri 2-2. Gol United diledakkan Marcus Rashford dan Romelu Lukaku.

“Saya menolaknya kerana dia berada di dalam kawasan teknikal saya. Saya tidak tahu me­ngapa dia enggan berjabat tangan selepas itu, mungkin disebabkan insiden berkenaan. Mungkin juga dia berpendapat keputusan yang dicatat pasukannya sebagai satu keputusan negatif, kerana semua orang menjangkakan mereka akan menewaskan kami di Stoke.

“Kadangkala pengurus kelab yang berada dalam kelompok enam terbaik tidak menerima baik keputusan negatif. Keada­an tersebut berlaku mungkin disebabkan mereka tidak biasa berdepan dengan situasi tersebut, mungkin juga mereka me­nunjukkan reaksi dengan cara yang salah.

“Mungkin reaksinya salah atau mungkin saya yang silap. Saya memang ada sejarah dengan isu berjabat tangan,” kata Hughes yang menyelar Mourinho.

Bagaimanapun, terdapat sumber yang menjelaskan: “Jose hanya mahu memberikan arahan agar benteng pertahanannya diperkemaskan lagi selepas kekasaran berlaku dan Hughes pula telah menolaknya sambil memaki sewaktu dia melintas ke kawasan Stoke.

“Dia turut meminta pengadil mengarahkan Jose berada di tempat duduk penonton. Pada akhirnya, Jose hanya beredar dan dia enggan berjabat tangan kerana dia telah dihina.”

Mourinho pula mendakwa Stoke hanya mahukan keputusan seri, sewaktu dia cuba meredakan insiden yang berlaku.

“Tiada isu. Saya lebih selesa tidak menjawab soalan me­ngenai berjabat tangan, itu satu soalan yang teruk. Kelihatannya seperti saya yang melakukan kesalahan, tetapi itu tidak be­tul,” kata Mou­rinho yang me­nyaksikan United masih kekal di kedudukan pendahulu dengan kelebihan ja­ringan ke atas Manchester City. – AGENSI