Ejen Mourinho bagaimanapun gagal dihubungi, manakala United dan agensi pemungut cukai Sepanyol masing-masing enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Pihak pemungut cukai Sepanyol tahun lalu memfailkan dakwaan terhadap Mourinho atas dua kesalahan penipuan cukai ketika dia menjadi jurulatih Real Madrid.

Mourinho, 55, meninggalkan Real pada 2013 untuk membimbing kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea sebelum menyertai United pada 2016.

Menurut pihak berkuasa Sepanyol, pengurus kelahiran Portugal itu berhutang 3.3 juta euro (RM15.81 juta).

Dia dikatakan gagal mengisytiharkan pendapatan hasil hak imejnya untuk cukai pendapatan 2011 dan 2012 dengan matlamat ‘mendapatkan keuntungan tidak sah’.

Menurut laporan itu lagi, Mourinho bagaimanapun sudah membayar denda 1.15 juta euro (RM5.51 juta).

Mengikut undang-undang Sepanyol, jika pesalah mengaku bersalah dan hukuman dikenakan kurang daripada 24 bulan maka individu tersebut tidak perlu menjalani hukuman di dalam penjara.

Mahkamah di Madrid yang mengetuai perbicaraan terhadap Mourinho dijangka mendedahkan perincian perjanjian berkenaan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Dalam perkembangan lain, Mourinho menegaskan, dia tidak bimbang dengan masa depannya di United yang dikatakan ‘panas’.

Katanya, kelab perlu menanggung kos yang tinggi andai mahu memecatnya.

“Mereka kata saya dalam bahaya tetapi saya tidak fikir begitu.

“Kalau mereka (United) mahu memecat saya, tahukah anda berapa banyak wang yang perlu dibayar kepada saya,” katanya kepada akhbar Itali, La Repubblica dan Gazzetta dello Sport.

Kedudukan Mourinho dilihat sedikit selamat selepas United menewaskan Burnley 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu. – AGENSI