KECELUPARAN Jose Mourinho mengkritik pengadil menyebabkan jurulatih
KECELUPARAN Jose Mourinho mengkritik pengadil menyebabkan jurulatih Chelsea itu digantung satu perlawanan dan didenda 50,000 pound oleh FA. – AFP PHOTO

Mourinho mendakwa, pe­ngadil, Robert Madley takut untuk memberi sepakan penalti kepada pasukannya ketika Chelsea tewas 1-3 kepada Southampton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada 3 Oktober lalu.

Pengendali kelahiran Portugal berusia 52 tahun itu tidak berpuas hati apabila tiada sepakan penalti diberikan selepas pe­nyerang, Radamel Falcao dijatuhkan oleh penjaga gol The Saints, Maarten Stekelenburg.

Menurut FA, Mourinho akur dengan hukuman yang dikenakan terhadapnya dan tidak akan mengemukakan rayuan.

Malah, jurulatih tersebut juga sedar hukuman lebih buruk bakal menanti jika dia gagal berkelakuan baik sepanjang 12 bulan ini.

“Jose Mourinho digantung satu perlawanan dan didenda 50,000 pound (RM318,000) selepas mengaku bersalah melanggar peraturan FA.

“Pengurus Chelsea itu didakwa atas kesalahan salah laku sejurus perlawanan menentang Southampton pada Sabtu, 3 ­Oktober 2015.

“Beliau telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah serta berat sebelah terhadap pegawai perlawanan, malah mencemarkan reputasi perlawanan itu.

“Mourinho akan digantung perlawanan serta merta oleh Suruhanjaya Peraturan Bebas selepas ini sekiranya dia didapati mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan kepada media yang melanggar peraturan FA sebelum 13 Oktober 2016,” kata FA dalam satu ke­nyataan.

Biarpun turun dengan reputasi sebagai penyandang juara, namun Chelsea bermula longlai musim ini dan sekadar menduduki tangga ke-16 daripada lapan perlawanan setakat ini.

Skuad The Blues perlu menang apabila menerima kunjungan Aston Villa di London esok atau bakal berdepan nasib lebih buruk. – AFP