United sudah berada di ambang kekalahan ketika permai­nan tinggal empat minit untuk ditamatkan, sebelum jaringan penyamaan Juan Mata (minit ke-86) dan gol sendiri Leonardo Bonucci (minit ke-89) merubah segalanya.

Selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan cantik bekas bintang United, Cristiano Ronaldo, Red Devils berterima kasih kepada Mata selepas pemain Sepanyol itu menyumbat gol penyamaan menerusi sepakan bebas, sebelum Bonucci tertolak bola ten­dangan Ashley Young.

Sejurus selepas wisel penamat ditiupkan, Mourinho mencetus kontroversi apabila masuk ke dalam padang sambil meletakkan sebelah tangannya di telinga sebagai isyarat dia mendengar ejekan penyokong.

“Berada di sebuah bandar Itali yang indah, mereka telah mengejek saya sepanjang 90 minit. Saya tidak menghina mereka. Saya cuma melakukan satu perkara kecil.

“Saya tahu berjuta penyokong Inter gembira dengan kekalahan ini tetapi saya hormat Juventus, pemain, pengurus dan kualiti yang mereka miliki,” kata Mourinho kepada BT Sport.

Mourinho, 55, tidak di­senangi oleh penyokong Juventus kerana masih diingati sebagai bekas pengurus musuh ketat mereka, Inter.

Bagaimanapun pengendali dari Portugal itu sebenarnya telah mencetuskan ketegangan sejak aksi pertama di Old Trafford pada 23 Oktober lalu.

Dalam perlawanan yang berkesudahan United tewas 0-1 itu, Mourinho menunjukkan isyarat tiga jari ke arah penyokong Juventus membawa maksud tiga kejua­raan yang pernah dimenangi bersama Inter pada 2010.

Tindakan Mourinho itu menaikkan kemarahan Bonucci yang cuba bersemuka dengannya ketika melalui terowong pemain tetapi pantas dileraikan oleh staf ­United.

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri juga sempat meredakan kontroversi yang berlaku.

Selepas tamat empat perlawanan, Juventus masih menerajui Kumpulan H dengan sembilan mata, dua matas me­ngatasi United. – AFP