Jaringan Marouane Fellaini, Romelu Lukaku dan Marcus Rashford membolehkan Red Devils mengungguli Kumpulan A selepas satu lagi perlawanan menyaksikan Benfica tewas 1-2 kepada CSKA Moscow di tempat sendiri.

Mourinho mendakwa pemain-pemainnya melakukan terlalu banyak helah ketika sedang mendahului 2-0 dan seperti kehabisan tenaga.

“Kami melakukan keputusan yang buruk.

“Fantasy Football, Playstation Football (permainan video) dan helah. Apabila anda berhenti bermain sebagai satu pasukan dan tidak lagi bermain dengan serius, saya tidak suka. Anda memperjudikan nasib pasukan.

“Mungkin, pemain beranggapan perlawanan berada di bawah kawalan ketika mendahului 2-0 tetapi ini adalah bola sepak dan anda kena menghormati lawan.

“Sebelum keputusan 2-0, kami bermain dengan stabil, penuh keyakinan bersama kesabaran dan melakukan beberapa keputusan yang baik. Saya boleh katakan, kami bermain dengan bagus.

“Begitupun keadaan berubah selepas kedudukan menjadi 2-0. Mereka mula berhenti bermain, berhenti berfikir dan tidak lagi serius. Kami juga berhenti membuat keputusan yang tepat di atas padang dan meletakkan pasukan dalam masalah, mujurlah kami berjaya memperoleh gol ketiga,” kata Mourinho kepada pemberita.

Di sebalik kemenangan itu, Red Devils menerima perkhabaran kurang gembira apabila bintang tengahnya Paul Pogba dikhuatiri akan terlepas lebih banyak perlawanan akibat kecederaan pangkal paha.

Mourinho menjangkakan pemain Perancis berusia 24 tahun itu mungkin terpaksa direhatkan untuk beberapa minggu.

“Saya mengetahuinya (kecederaan) berdasarkan pengalaman, ia adalah kecederaan otot yang sering menimpa pemain bola sepak.

“Kecederaan sebegini memerlukan masa beberapa minggu untuk pulih,” ujarnya.

Fellaini yang dibawa masuk menggantikan Pogba tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan apabila meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-35, sebelum Lukaku menambah gol kedua pada minit ke-53, diikuti Rashford pada minit ke-84. – AGENSI