Jurulatih kontroversi dari Portugal itu juga menyindir pihak pengurusan liga dengan membayangkan bakal menurunkan skuad ‘naif dan kurang keyakinan’ apabila bertemu Crystal Palace dalam perlawanan terakhir mereka Ahad ini kerana mahu merehatkan pasukan untuk menghadapi Ajax.

“Saya harap penyokong akan tetap memberikan sokongan walau apa pun yang berlaku Ahad ini. Jika pemain agak naif, kurang keyakinan apabila bertemu Palace, maafkanlah mereka.

“Harap Big Sam (Allardyce, pengurus Palace) juga menunjukkan belas kasihan. Beritahu (Wilfried) Zaha agar memperlahankan sedikit permainan dan tinggalkan (Christian) Benteke di rumah,” katanya kepada pemberita sejurus pasukannya seri 0-0 dengan Southampton hari ini.

Pertemuan menentang Ajax di Stockholm Rabu depan (Khamis pukul 2.45 pagi waktu Malaysia) adalah peluang ter­akhir United untuk layak ke Liga Juara-juara musim depan.

Mourinho, yang sekali lagi merehatkan beberapa tonggak pasukan ketika berdepan Southampton, kini menduduki anak tangga keenam liga dengan 66 mata, tujuh di belakang pasukan di tempat keempat Liverpool.

“Mana-mana negara di dunia sekali pun akan mengadakan perlawanan pada Sabtu kerana walau apa pun yang terjadi kami tetap menduduki anak tangga keenam dan Crystal Palace pula sudah selamat.

“Sejak Palace mengalahkan Hull (4-0 Ahad lalu), Hull sudah tersingkir. Sejak detik itu (juara dan tiga pasukan yang tersingkir) sudah diketahui, sepatutnya mereka boleh membenarkan perlawanan ditukar daripada Ahad kepada Sabtu.

“Situasi ini sangat mengecewakan. Saya harap anda tidak ‘bunuh’ saya apabila melihat pasukan yang bakal saya turunkan nanti (bertemu Palace) kerana saya tidak akan berjuang dalam persaingan yang saya tahu saya tidak akan menang,” katanya.

Dalam perlawanan hari ini, Mourinho merehatkan Marcus Rashford, Micheal Carrick, Ander Herrera dan Paul Pogba, manakala penjaga gol David De Gea digantikan dengan Sergio Romero.

Dia sekali lagi bakal menurunkan skuad kedua apabila bertemu Palace dengan bersedia membariskan penjaga gol ketiga Joel Pereira, 20.

“Dalam perlawanan akan datang, Joel bakal membuat penampilan sulung Liga Perdana.

“Saya sudah tujuh tahun di sini (bola sepak Inggeris) dan saya tidak pernah lihat pengurusan Liga Perdana peduli mengenai nasib kelab Inggeris yang beraksi dalam kejohanan Eropah. – AGENSI