Mourinho sebelum ini meluahkan hasratnya untuk sedia bersaing dengan kelab-kelab gergasi yang lain bagi mendapatkan Bale dengan syarat bintang Wales itu tidak beraksi di dalam perlawanan yang mempertemukan juara Liga Juara-juara dan juara Piala Europa itu.

Walaupun pada awalnya Bale dijangka tidak membuat penampilan dalam perlawanan itu, namun dia akhirnya diturunkan untuk membarisi bahagian serangan Real bersama Karim Benzema dengan ketiadaan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

“Secara jelas pasukan dan pengurus mahukan dia dan dirinya sendiri mahu bersama kelab itu, maka semuanya telah berakhir. Semua orang tahu dia mahu kekal dalam pasukan tersebut,” kata Mourinho kepada BT Sport.

Presiden Real, Florentino Perez turut menolak hasrat untuk menjual pemain tersebut yang dibawa ke Santiago Bernabeu pada 2013 dengan harga AS$111 juta dolar (RM475 juta) yang merupakan rekod dunia ketika itu.

“Saya tidak terfikir untuk menjualnya, dia adalah pemain Real Madrid, penting kepada pasukan dan salah seorang daripada pemain terbaik dunia,” katanya.

Bale membantu terhasilnya gol kedua Real menerusi hantarannya kepada Isco dan bekas pemain Tottenham Hotspur itu hampir mencipta nama sebagai penjaring apabila percubaannya terkena palang pada penghujung perlawanan.

“Saya tidak membaca apa-apa mengenainya walaupun ramai yang memberitahu saya mengenai spekulasi tersebut. Saya gembira bermain di sini dan mahu memenangi piala sebanyak mungkin.

“Sesuatu yang baik untuk terus menambahkan koleksi piala. Perlawanan yang diharungi agak sukar tetapi saya rasa pasukan bermain dan menguasai perlawanan dengan baik. Kami mahu meneruskan rentak kemenangan dan setiap perlawanan kami masih dahagakan kejayaan,” kata Bale. – REUTERS